MUSIM kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) datang lagi.

Setelah sekian lama terperuk di rumah ekoran pandemik COVID-19, para ibu bapa dilihat kian teruja dalam membuat persiapan buat anak-anak untuk meneruskan perjalanan hidup mereka ke menara gading.

Segulung tahniah buat pelajar yang telah memperoleh keputusan cemerlang. Diharapkan mereka lebih bijak mengatur langkah dalam usaha menentukan masa depan. 

Pada masa sama, mereka mempunyai kelebihan dalam meletakkan diri sebagai penerima biasiswa pengajian dari pelbagai sektor.

Bagi pelajar yang sederhana cemerlang pula, kursus persediaan ditawarkan oleh kolej atau diploma mungkin dilihat mempunyai potensi utama sebagai pilihan.

Kumpulan ini bermotivasi untuk bergerak ke hadapan dengan memanfaatkan peluang yang ada.

Ada juga pelajar yang mencapai keputusan yang kurang memberangsangkan, namun ia tidak membataskan mereka untuk turut berjuang menggapai kejayaan.

Mereka memilih untuk bekerja ataupun mengikuti kursus kemahiran. Lambakan kursus jangka panjang dan pendek yang disediakan mampu membina keterampilan dan keyakinan diri menempuh fasa seterusnya.

Bagi pelajar yang tidak dapat ke universiti, melanjutkan pengajian ke kolej tingkatan enam merupakan salah satu inisiatif yang progresif. 

Sinonim dengan nama prauniversiti, ia berfokuskan kepada peningkatan taraf pendidikan ke arah yang lebih tinggi seiring dengan program prauniversiti yang lain.

Selain itu, pembelajaran tingkatan enam bertujuan melahirkan pelajar dengan nilai kebolehpasaran dan berdaya saing. 

Adalah menjadi harapan kerajaan, kumpulan ini dapat membentuk kepimpinan yang mendokong aspirasi negara dan mempunyai kemahiran insaniah yang positif.

Yang lebih penting, pembelajaran di tingkatan enam mempunyai kelebihan yang tersendiri terutamanya dari segi kos pengajian yang lebih rendah berbanding peringkat matrikulasi, praasasi, ataupun diploma.

Ada pelajar yang cemerlang memilih untuk ke tingkatan enam walaupun ditawarkan ke IPT. Namun pada masa sama, tidak ramai pelajar yang gagal ke IPT memilih untuk ke kolej tingkatan enam kerana tersalah tafsir sistem pengajian yang masih mengekalkan suasana persekolahan.

Ada sekolah yang dinaik taraf untuk pelajar tingkatan enam. Daripada jumlah itu, terdapat banyak sekolah yang masih lemah dari segi infrastrukturnya.

Hal ini menatijahkan cabaran hebat bagi pelajar di tingkatan enam ini di dalam mempunyai aksesibiliti terhadap material-material yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan mereka.

Tempoh masa setahun setengah di tingkatan enam juga agak berisiko yang mana pelajar akan menduduki peperiksaan STPM berbanding dengan matrikulasi atau asasi yang lebih pendek iaitu setahun.

Maka tidak hairanlah sebahagian pelajar berasa terdesak dan pilihan terakhir adalah ke kolej atau universiti swasta.

Bagi IPTS sedemikian, pelajar ini ibarat lubuk emas yang perlu dituai. Ini dapat dilihat dengan kewujudan kolej swasta yang tumbuhnya seperti cendawan selepas hujan.

Namun pada realitinya, kewujudan kolej atau universiti swasta (IPTS) adalah sebagai pelengkap kepada tanggungjawab IPTA yang semakin besar dan sukar menampung pertambahan jumlah pelajar.

Senario ini akan mewujudkan proses pendidikan yang lebih liberal dan matang selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin melahirkan penduduk Malaysia berpendidikan tinggi

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat gergasi swasta turut teruja mengadakan program-program berkembar dengan universiti luar negara melalui institusi pendidikan mereka.

Bidang-bidang pengajian yang popular seperti bidang kejuruteraan, perakaunan, komunikasi dan sains komputer ditawarkan dengan kemudahan prasarana yang baik, tenaga pengajar berkemahiran dan pakej yang menarik.

Ia bertujuan menambat hati pelajar terutamanya membimbing pelajar untuk mempunyai peluang kerjaya yang cerah setelah tamat bergraduasi.

Dengan syarat kemasukan yang mudah, tidak hairanlah ramai pelajar memilih untuk ke kolej atau universiti swasta.

Ditambah pula dengan gaya kehidupan yang dipaparkan di layar perak, kehidupan di kolej dilihat penuh keseronokan, percintaan tulus dan keriangan. Maka, tidak hairanlah ramai pelajar yang tidak sabar untuk ke institusi pengajian tinggi.

Tambahan pula, kelemahan pelajar dalam menilai menyebabkan mereka menjadi tidak realistik dengan kursus pilihan mereka.

Ada ibu bapa yang mengeluh memikirkan kos pengajian yang diimpikan anak-anak. Kursus yang 'glamor' seperti perubatan dan kejuruteraan di IPTS sememangnya tidak murah.

Terdapat kes di mana sang anak menunjukkan protes dengan tidak menjamah makanan dan berkurung di kamar kerana keinginannya untuk ke sekolah penerbangan tidak tercapai.

Kos untuk ke sekolah sedemikian sebenarnya sama nilai dengan harga sebuah rumah teres di bandar. Bergolok gadailah sang bapa bagi memenuhi impian si anak menjadi juruterbang di awan biru.

Dari segi kelayakan pula, rata-rata IPTS menerima kemasukan pelajar yang mendapat kelayakan peperiksaan yang minimum.

Bayangkan dengan keputusan bak nyawa-nyawa ikan bagi Fizik dan Matematik Tambahan di peringkat SPM, ada pelajar melanjutkan pengajian di bidang nautika. Kononnya kerana beliau bercita cita menjadi seorang ahli pelayaran.

Ada juga yang mengambil jurusan angkasa lepas kerana teruja dengan angkasawan Sheikh Muszaphar Shukor.

Sebenarnya, tidak salah dalam mengejar cita namun ukurlah baju di badan sendiri agar tidak menjerumuskan diri ke dalam risiko salah pemilihan sekali gus dapat menjejaskan kesihatan psikologi dan fisiologi.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pelajar gagal menamatkan pengajian. Ibu bapalah yang terpaksa menanggung hutang melunaskan pinjaman pengajian.

Justeru, ibu bapa dan pelajar harus bijak untuk memilih IPTS sebagai alternatif pusat pengajian tinggi.

Mereka harus menjalankan kaji selidik terlebih dahulu sebelum membuat keputusan kerana ia bukan sahaja melibatkan jumlah wang ringgit yang agak besar tetapi masa depan anak mereka akan turut terencat sekiranya salah perhitungan. 

Buat para pelajar yang telah mendapat keputusan SPM, selamat menongkah arus!



Abdul Mutalib Embong ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.