BENTONG: Kawasan Janda Baik dekat sini merupakan antara lokasi pilihan yang menjadi tumpuan pelancong setiap kali bercuti bersama keluarga dan rakan.

Namun, sejak bah besar melanda seminggu lalu, ia memberi kesan mendalam kepada pengusaha chalet dan resort apabila rata-rata fasiliti mereka turut terjejas teruk.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati, lebih 38 premis terdiri daripada chalet dan resort di Janda Baik, terkesan dalam kejadian banjir besar yang melanda negara Sabtu lalu.

Kami bertemu beberapa pengusaha chalet bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

CHALET TENGGELAM DITELAN BANJIR

Menurut Kamarul Affendi, 49 tahun, hampir kesemua chalet miliknya ditenggelami air dalam kejadian itu.

"Pada hari kejadian, 18 Disember lebih kurang jam 9 malam, pengunjung (chalet) ada menghubungi saya, memberitahu air sungai kelihatan lain daripada biasa.

"Jadi, langkah pertama kami ialah, selamatkan pengunjung chalet, bawa mereka ke tempat lebih tinggi. Kemudian, keadaan air sungai yang melimpah bertambah teruk.

"Kami berjaya selamatkan kereta mereka, naikkan ke tempat tinggi, susun di atas jalan raya. Apabila tengok keadaan masih huru-hara, kami pergi ke kawasan yang lebih tinggi.

"Lebih kurang 60 orang berkumpul di rumah di kawasan tinggi itu, termasuk keluarga kami. Kebetulan, pada hari itu, chalet kami penuh," katanya.

Pascabanjir | Pengusaha chalet Janda Baik mahu bangkit semula

Namun, Kamarul berkata, punca rezekinya itu musnah selepas keseluruhan barangan yang ditempatkan di chalet tersebut rosak.

Meskipun perit menerima hakikat tersebut, beliau reda untuk kembali bangkit meneruskan kehidupan.

"Bangkit semula. Walaupun perit, tetapi kena bangkit semula.

"Memang ia 'total loss'. Rumah di belakang tempat kami menginap habis punah. Habis. Kita kena perlahan-lahan, satu-satu, cari modal semula untuk beli peralatan dan sebagainya," katanya lagi.



Bagaimanapun, katanya, untuk dia bangkit semula, pasti akan mengambil masa yang lama.

Lebih-lebih lagi kerana terpaksa mendapatkan semula modal untuk menggantikan peralatan yang telah rosak sebelum memulakan semula perniagaannya.

"Tetapi, saya nampak, semangat pengusaha tak pudar, walaupun mengambil masa agak lama. Mahu tidak mahu, kena bangkit dengan perlahan.

"Besar harapan kami pengusaha chalet agar pihak kerajaan dapat memandang serius perkara ini bagi membantu kami bangkit semula," katanya lagi.

SEMUA BARANGAN MUSNAH

Situasi sama dihadapi Mat Sabri Ahmad Malek, 62 tahun, antara penjejak hutan yang kehilangan keseluruhan peralatannya dalam kejadian Sabtu lalu.

Ketika air mencapai paras pinggang, dia hanya sempat menyelamatkan nyawanya dengan berpindah ke kawasan selamat.

Keesokan harinya, selepas air mulai surut, dia mendapati keseluruhan peralatan yang digunakan untuk mencari rezeki hilang ditelan banjir.

"Saya rugi lebih kurang RM300,000, hilang dalam sekelip mata.

"Saya terpaksa bina semula pendapatan untuk menjadikan keadaan seperti biasa semula. Memang panjang perjalanannya," jelasnya. 



Semua peralatan serta barangan yang dikumpulnya selama ini, mengambil masa 15 tahun, kini hilang dalam sekelip mata.

Mat Sabri mengakui, dia kadang-kadang buntu mengenangkan nasib perjalanan hidupnya selepas ini.

Semangatnya kuat, namun banyak modal dan masa yang diperlukannya untuk mula semula mencari rezeki.

Lebih malang, rumahnya turut musnah dalam kejadian itu.

"Saya kumpul semua peralatan ini selama 10 hingga 15 tahun. Banyak kita perlukan pemulihan untuk mencari rezeki balik, bagi mendapatkan keadaan yang baru, yang macam biasa.

"Saya kena pulihkan dahulu tempat ini. Sekarang ini semuanya berterabur. Kita pun tak tahu rancangannya bila boleh siap," katanya lagi. 



Pemerhatian Astro AWANI mendapati, bukan hanya chalet dan resort di kawasan Pulau Santap terjejas teruk dilanda banjir.

Malah, beberapa fasiliti juga musnah, antaranya dua jambatan utama dan lima jambatan kecil yang sering digunakan penduduk setempat.

Jalan raya juga tidak terkecuali. Begitu juga fasiliti di sekitar kawasan sungai yang dipenuhi sampah serta longgokan puing.

Keadaan di Janda Baik tidak lagi seperti sebelum ini. Penduduk perlukan lebih banyak bantuan daripada kerajaan supaya dapat membina semula kehidupan dan perniagaan mereka.