BEKAS pemain England, Alan Shearer berpendapat pasukan Manchester United yang ada pada ketika ini adalah pasukan paling teruk pernah dilihatnya walaupun ketika Erik ten Hag mempunyai pemain yang cergas sepenuhnya untuk dipilih.

United telah mengharungi musim yang suram apabila ketika ini berada di kedudukan kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) menuju dua lagi baki perlawanan musim ini.

Walaupun telah mara ke final Piala FA, namun mereka bakal menamatkan saingan EPL pada kedudukan terburuk selain bolos 71 gol dalam kesemua pertandingan yang merupakan rekod paling banyak sejak 1971.

Mereka juga tersingkir daripada Liga Juara-Juara pada peringkat kumpulan selepas dibelasah 0-4 oleh Crystal Palace dan tewas 0-1 kepada Arsenal dengan persembahan yang sangat hambar.

"Saya rasa ini pasukan United paling teruk pernah dilihat dalam hidup saya. Anda tidak boleh menyalahkan usaha mereka - mereka mencuba (menentang Arsenal).

"Tetapi, dari segi keupayaan dan saya tahu mereka mengalami banyak kecederaan, tetapi ia bukan bermakna mereka boleh menyalahkan faktor tersebut," katanya.

Shearer berkata, United juga telah mengalami kemerosotan prestasi cukup lama dan akan mengambil masa untuk kembali bangkit.

"Mereka telah berada pada tahap terendah untuk masa yang lama dan akan mengambil masa untuk kembali kuat.

"Malah, jika semua pemain mereka cergas, ia masih akan mengambil masa yang lama untuk mereka jadi pencabar. Terutama untuk menyaingi Manchester City, Liverpool atau Arsenal," katanya. - Sinar Harian