PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan bagi pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempertimbangkan secara serius, untuk membuat rayuan berhubung empat kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin, 77, berkata demikian, selepas Mahkamah Rayuan memerintahkan semua kes itu, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu perlu diteliti dengan lebih berhati-hati, terutama membabitkan prosedur undang-undang berkaitan.

Beliau berkata, jika mereka memutuskan untuk membuat rayuan, notis itu akan difailkan dalam tempoh 14 hari, dan mereka akan hadir ke Mahkamah Sesyen pada 4 Mac depan untuk tindakan susulan.

“Hakikatnya, kami kecewa tetapi menerima serta menghormati keputusan itu, kerana isu asas dalam kes ini ialah, sama ada Bersatu merupakan sebuah parti yang bersekutu mengikut akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), sedangkan kami bertekad ia tidak (tersenarai).

“Bukan itu sahaja, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada makna yang ditakrifkan oleh kamus sebaliknya kami memahami perkara terbabit sebagai mana yang terdapat dalam akta SPRM,” katanya ketika sidang akhbar sejurus prosiding selesai.

Beliau berkata, biarpun kecewa namun mereka menerimanya dengan berlapang dada selepas mahkamah yakin dengan pendekatan yang digunakan pihak pendakwaan.

Katanya, pembelaan akan mengambil langkah seterusnya iaitu berbincang terlebih dahulu dan dalam sama sama, mahkamah mengarahkan semua pihak hadir Mahkamah Sesyen, minggu hadapan.

Pada Rabu, Mahkamah Rayuan di sini mengarahkan empat kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Presiden Bersatu ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan itu secara sebulat suara, setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh atas empat tuduhan rasuah terbabit.

Turut bersidang ialah Hakim, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian