Kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk memantau dan menyiasat pertubuhan yang diresapi idea revolusi warna di negara ini yang mahu menggulingkan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pasukan petugas itu terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata laporan risikan menunjukkan beberapa pertubuhan di negara ini dikesan meresapi ideologi revolusi warna untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Bersih, Majlis Peguam, Malaysia Kini.com dan Sarawak Report.

"Organisasi seperti Bersih, yang telah melancarkan lima siri demonstrasi jalanan ternyata ditaja oleh (hartawan Amerika Syarikat George) Soros melalui National Demoracy Institute (NDI) dan Open Society Foundation (OSF).

"Tetapi, hakikatnya mereka melancarkan revolusi warna kuning untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada tetapi gagal," kata Ahmad Zahid yang merupakan naib presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden dalam sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini hari ini.