MELAKA: Lima pendatang tanpa izin warga India dan Pakistan bertindak agresif ketika cuba meloloskan diri daripada ditahan pegawai Jabatan Imigresen Melaka dalam serbuan Op Selera dan Op Pintu di sekitar bandar raya ini.

Pengarah Imigresen Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata mereka merempuh pegawai operasi dan sanggup membahayakan diri dengan berlari menuju ke jalan raya yang sibuk, namun berjaya ditahan.

"Lima mereka antara 26 pendatang tanpa izin terdiri daripada 22 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, berusia antara dua hingga 54 tahun yang ditahan dalam operasi bermula Jumaat lepas hingga 1.30 pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua 26 individu itu iaitu 13 warga Myanmar, India dan Indonesia masing-masing lima, Bangladesh (dua) serta seorang warga Pakistan adalah daripada keseluruhan 72 warga asing yang diperiksa di kawasan medan selera, restoran dan premis penempatan pekerja disyaki menjadi tempat penginapan pendatang asing.

"Serbuan dilakukan oleh 20 anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Melaka berdasarkan aduan daripada orang awam dan penduduk setempat.

"Semua yang ditahan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, pas lawatan kerja sementara (PLKS) tamat tempoh dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

Beliau berkata tiga borang saman saksi turut dikeluarkan kepada wakil majikan untuk membantu siasatan dan Jabatan Imigresen Melaka akan mengesan majikan yang didapati menggaji pendatang asing untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA