Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari meminta orang ramai mematuhi arahan Suruhanajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tidak menyebarkan program perhimpunan haram Bersih 4.0.

Katanya SKMM dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka jika mengingkari arahan itu.

"Mana-mana pihak yang menggunakan internet untuk sebar program Bersih 4 boleh diambil tindakan mengikut undang-undang yang ada," katanya kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO hari ini.

Jailani berkata kementerian juga sedang mengkaji semua undang-undang siber yang ada dalam usaha mengatasi masalah dan ancaman siber.

Menurutnya masalah dan acaman siber tidak boleh lagi dipandang remeh kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara, walaupun banyak pihak mendapat manfaat daripada kemudahan itu.