PETALING JAYA: Polis sedang memburu seorang lelaki yang melarikan diri selepas merempuh sebuah kereta peronda polis (MPV) di sekitar PJS 7/19, Bandar Sunway di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam kejadian sekitar pukul 7.25 petang, ketika pasukan polis sedang melakukan rondaan, mereka terserempak sebuah kereta Proton Iswara dalam keadaan yang mencurigakan.

"Apabila anggota peronda cuba untuk memeriksa kenderaan itu, suspek bertindak mengundur kenderaannya sehingga melanggar kenderaan MPV dan ekoran itu berlaku insiden mengejar sebelum disekat di susur keluar Lebuhraya Baru Pantai (NPE).



"Suspek sekali lagi mengundur kenderaannya dan melanggar kenderaan MPV untuk kali kedua sebelum melarikan diri. Akibat pelanggaran itu MPV tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan tidak dapat bergerak," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Abd Khalid memberitahu, dua anggota peronda itu bagaimanapun selamat tanpa selamat kecederaan.

Berdasarkan semakan awal, katanya, kenderaan yang digunakan suspek dilaporkan hilang pada 21 Jun lalu di Batu 9, Cheras, di sini. 

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksan kerana cuba membunuh, Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam serta Seksyen 188 kanun sama kerana mengingkari perintah penjawat awam.

Lelaki itu, kata beliau, turut disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu.

Sehubungan itu, Abd Khalid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubung pusat kawalan Subang Jaya di talian 03-56210343 atau mana-mana balai polis terdekat dengan segera.