MALAYSIA
PBAPP laksana langkah segera atasi tekanan air rendah ketika cuaca panas di Pulau Pinang

Ketika ini pengguna terjejas tekanan air rendah bermula 6 petang hingga 11 malam iaitu ketika waktu puncak dan PBAPP sedang berusaha mengurangkan tempoh gangguan kepada dua hingga tiga jam sehari. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil langkah segera bagi mengurangkan gangguan bekalan dan tekanan air ketika waktu puncak di beberapa kawasan di negeri itu, terutama di Seberang Perai Selatan (SPS) berikutan cuaca panas sekarang.
Ringkasan AI
- PBAPP melaksanakan pelarasan injap dan pengoptimuman sistem paip bagi mengurangkan gangguan bekalan dan tekanan air rendah, terutama di Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas ketika waktu puncak akibat cuaca panas dan peningkatan permintaan.
- Gangguan tekanan air melibatkan 3,000 hingga 4,000 akaun pengguna di kawasan seperti Sungai Bakap, Nibong Tebal, Jawi, Simpang Ampat, Bukit Tambun dan Batu Kawan; PBAPP berusaha mengurangkan tempoh gangguan kepada dua hingga tiga jam sehari.
- Dua projek jangka panjang sedang dilaksanakan di Sungai Kerian iaitu pembinaan Loji Rawatan Air berkapasiti 114 juta liter sehari dan modul rawatan air pengapungan udara terlarut berkapasiti 50 juta liter sehari, dijangka siap dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.
"Julai dan Ogos merupakan tempoh paling mencabar setiap tahun dalam pengurusan bekalan air berikutan peningkatan permintaan serta penggunaan air semasa cuaca panas dan waktu puncak lebih-lebih lagi ketika ini banyak projek pembangunan di Pulau Pinang.
"Pada waktu puncak, terdapat 3,000 hingga 4,000 akaun pengguna terutama di SPS yang mengalami tekanan rendah malah ada aduan mereka tidak mendapat bekalan air langsung selama tiga hingga lima jam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hab Polis Bantuan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBAHB) yang dirasmikan Ketua Menteti Chow Kon Yeow dan turut hadir Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin di Empangan Air Itam di sini hari ini.
Pathmanathan berkata sebarang peningkatan tambahan terhadap tekanan air boleh menyebabkan kadar air tidak berhasil (NRW) meningkat termasuk risiko kebocoran dan paip pecah memandangkan sebahagian sistem paip di kawasan terlibat berusia lebih 50 tahun.
Beliau berkata semua kawasan di Pulau Pinang juga berkongsi sumber air yang sama dan tiada paip khusus ke SPS, justeru strategi semasa lebih tertumpu kepada pengagihan semula serta projek peningkatan kapasiti.
"Dua projek utama telah diluluskan untuk penyelesaian jangka panjang di kawasan SPS ialah projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kerian berkapasiti 114 juta liter sehari (MLD) yang telah dimulakan dan dijangka siap dalam 14 hingga 18 bulan.
"Seterusnya ialah modul rawatan air pengapungan udara terlarut baharu berkapasiti 50 MLD di Sungai Kerian yang dijangka siap dalam 12 hingga 14 bulan lagi selepas diluluskan oleh lembaga pengarah PBAPP baru-baru ini," katanya.
Kawasan SPS yang terjejas gangguan tekanan air ialah Sunagi Bakap, Nibong Tebal, Jawi, Simpang Ampat dan Bukit Tambun dan Batu Kawan manakala daerah Barat Daya di Bukit Penara, Balik Pulau serta beberapa kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami