Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diminta supaya tidak menyalahkan Kerajaan Malaysia dalam isu pelarian etnik Rohingya yang ingin memasuki negara ini.

Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis, Yussof Ali berkata ketegasan serta kuasa yang dimiliki PBB ketika ini ditagih supaya pertikaian isu pelarian Rohingya ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Jelasnya, kini terdapat lebih 1.5 juta etnik Rohingya di Kem Tahanan Cox’s Bazar di Bangladesh yang menunggu masa untuk lari ke Malaysia.

Pemimpin Rohingya itu memberi amaran bahawa terdapat tanda-tanda aktiviti pemerdagangan manusia kembali aktif di kem mereka yang terletak di Bangladesh.

Jelasnya, PBB harus menyelesaikan isu pertikaian rakyat Myanmar dengan kerajaan junta Myanmar bagi membolehkan pendudukan semula etnik Rohingya ke tanah asal mereka.

Menurut Yussof, dia memahami dan menerima penolakan kerajaan Malaysia terhadap kemasukan kapal yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya berikutan kebimbangan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Katanya lagi, PBB tidak seharusnya menyalahkan kerajaan Malaysia dalam isu etnik Rohingya.

"Macam mana boleh datang kalau Bangladesh tak lepas, Thailand tak lepas? Boleh datang Malaysia?

"Jangan salahkan kerajaan Malaysia. Saya pun tak setuju sebab saya tinggal di Malaysia dekat 30 tahun, tidak pernah mendatangkan apa-apa masalah terhadap undang undang negara ini sehingga ke hari ini.

"Masalah ini perlu ditangani PBB; mereka lebih berkuasa. Guna kuasa yang ada, masuk ke negara Myanmar, selesaikan isu ini, barulah etnik Rohingya tidak jadi pelarian," kata Yussof.

Dalam pada itu, Yussof turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kerajaan Malaysia yang menyalurkan bantuan makanan dan ubatan kepada pelarian Rohingya yang berada di dalam bot berkenaan.

Yussof kini melahirkan kebimbangan sekiranya kumpulan Rohingya ini yang terperangkap di laut dan tidak boleh mendarat di negara lain ini meninggal dunia.

Katanya, perkembangan terbaharu telah mencetuskan kebimbangan sekiranya krisis 2015 berulang kembali di mana ketika itu ramai Rohingya mati di lautan selepas negara-negara Asia Tenggara menolak kemasukan kapal mereka.

Dalam kejadian terbaharu, kapal yang dinaiki sekumpulan Rohingya dikesan oleh tentera udara di sekitar pulau Langkawi.

Tentera Malaysia dilapor memberikan makanan kepada kumpulan pelarian berkenaan sebelum mengarahkan mereka keluar dari perairan negara.

Malaysia menjadi destinasi pilihan pelarian Rohingya kerana majoriti penduduknya yang beragama Islam.