MALAYSIA
PBBPP sahkan haiwan mati diracun di Bukit Bendera, JPVPP jalankan siasatan

PBBPP menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menyalurkannya di e-mel [email protected]. - Gambar PBBPP
GEORGE TOWN: Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) memaklumkan, terdapat beberapa kes meracun haiwan dengan sengaja di kawasan Bukit Bendera sehingga menyebabkan kematian.
PBBPP dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, haiwan seperti anjing, kucing dan juga burung ditemui mati dipercayai termakan makanan beracun di atas kawasan bukit itu.
"Tindakan kejam itu tidak berperikemanusiaan dan menimbulkan risiko serius kepada ekosistem, keselamatan awam dan imej Bukit Bendera.
"Menggunakan racun untuk menghapuskan haiwan terbiar tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan dan boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan penjara sehingga 3 tahun dan, atau dengan denda," menurut kenyataan di laman Facebook PBBPP, pada Ahad.Sehubungan itu, perbadanan berkenaan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menyalurkannya di e-mel [email protected].
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Dr Saira Banu Mohamed Rejab mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian itu pagi tadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami