Skip to main content

Dunia

ASEAN tegaskan kesepakatan, kepusatan dalam pertemuan dengan Trump - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesepakatan tersebut merupakan pendirian bersama yang dikemukakan kepada Trump pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Manila, Filipina semalam. -Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesepakatan tersebut merupakan pendirian bersama yang dikemukakan kepada Trump pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Manila, Filipina semalam. -Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Negara anggota ASEAN komited untuk bekerjasama rapat dan mempertahankan kepusatan blok menerusi libat urus dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perbincangan kali ini lebih substantif, menumpukan pengukuhan ekonomi serantau termasuk aspek digital dan perdagangan intra-ASEAN.
  • Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila dihoskan Filipina, menghimpunkan delegasi 11 negara anggota serta rakan dialog, sebelum Singapura mengambil alih Pengerusi ASEAN 2027.
Advertisement

SHENZHEN: Negara anggota ASEAN komited untuk terus bekerjasama rapat dan mempertahankan kepusatan blok serantau itu khususnya menerusi libat urus dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesepakatan tersebut merupakan pendirian bersama yang dikemukakan kepada Trump pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Manila, Filipina semalam.

“Kami berbincang bahawa ASEAN perlu bekerjasama dan mengemukakan pendirian yang sama kepada Presiden Donald Trump, iaitu ASEAN mesti kekal memelihara kepusatannya serta terus bekerjasama,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menyampaikan ucapan sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2026 di sini hari ini. 

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesyuarat antara negara-negara ASEAN dengan Trump.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr.  atas penganjuran serta penyusunan mesyuarat yang disifatkannya berjalan dengan sangat baik. 

Advertisement

Mengulas lanjut mengenai hasil perbincangan itu, Perdana Menteri berkata sesi kali ini lebih substantif berbanding sebelumnya dengan tumpuan utama terhadap pengukuhan ekonomi serantau.

“Ia lebih substantif, merangkumi aspek digital, rangka kerja ekonomi, perdagangan serta perdagangan intra-ASEAN,” kata beliau.

Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 15 hingga 17 Nov, menghimpunkan delegasi daripada 11 negara anggota blok serantau itu serta rakan dialog dan rakan dialog sektoralnya.

Sidang kemuncak kali ini bertemakan “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama", sebelum jawatan Pengerusi ASEAN diserahkan kepada Singapura bagi 2027.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement