Skip to main content

Malaysia

Premium tanah KLSCAH: Diskaun RM4.67 juta ke RM1,000 wujud 'dua darjat' - PHB

PHB mempersoalkan pengurangan drastik premium tanah KLSCAH daripada RM4.67 juta kepada RM1,000, menyifatkan keputusan itu mewujudkan amalan 'dua darjat' berbanding tindakan tegas pengusiran penyewa PPR berpendapatan rendah. - Foto KLSCAH
PHB mempersoalkan pengurangan drastik premium tanah KLSCAH daripada RM4.67 juta kepada RM1,000, menyifatkan keputusan itu mewujudkan amalan 'dua darjat' berbanding tindakan tegas pengusiran penyewa PPR berpendapatan rendah. - Foto KLSCAH

Ringkasan AI

  • Kerajaan meluluskan pengurangan premium tanah KLSCAH daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 serta tempoh pajakan 99 tahun, mencetuskan dakwaan ketidakadilan.
  • PHB mendesak penjelasan kerajaan mengenai asas kelulusan, jaminan sekatan undang-undang, dan prinsip kesamarataan kepada institusi lain di ibu negara.
  • Menteri Hannah Yeoh mempertahankan keputusan itu, menyatakan ia selaras dengan penukaran status tanah dan usaha memelihara bangunan warisan negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan meluluskan pengurangan premium tanah daripada anggaran RM4.67 juta kepada hanya RM1,000, serta tempoh pajakan 99 tahun kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), didakwa menimbulkan elemen ketidakadilan dalam urusan pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan. 

Presiden Persatuan Hartanah Bumiputera (PHB) Datuk Seri Dr Arifuddin Mohamed Shah berkata, kelonggaran luar biasa mencecah 99.98 peratus itu seolah-olah mewujudkan amalan 'dua darjat' dalam sistem pengurusan aset negara. 

Menurut beliau, layanan istimewa tersebut dilihat amat kontra jika dibandingkan dengan tindakan penguatkuasaan tegas tanpa kompromi yang sering dikenakan ke atas golongan berpendapatan rendah di Perumahan Awam dan Program Perumahan Rakyat (PPR). 

Advertisement

"Adakah wujud dua standard dalam pengurusan tanah di Wilayah Persekutuan, iaitu syarat ketat untuk rakyat biasa dan perniagaan kecil, tetapi pertimbangan luar biasa untuk institusi tertentu?" soalnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tindakan tegas terhadap B40

Advertisement

Memetik rekod penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari Jan hingga 23 Sept lalu, Arifuddin berkata, tindakan telah diambil terhadap 602 unit Perumahan Awam dan PPR atas pelbagai kesalahan, terutamanya isu tunggakan sewa.

Daripada jumlah tersebut, menurutnya, sebanyak 323 unit telah berjaya dikosongkan dengan penyewa diarah keluar, manakala bakinya telah ditawarkan kepada pemohon baharu atau masih dalam proses penawaran. 

Tegas Arifuddin, PHB sama sekali tidak mempertikaikan usaha kerajaan memelihara tapak warisan, namun mempersoalkan mengapa pertimbangan kewangan bernilai jutaan ringgit begitu mudah diberikan kepada sebuah institusi, manakala keluarga miskin dibiarkan berdepan risiko hilang tempat berteduh semata-mata kerana masalah tunggakan. 

Lima tuntutan kepada menteri

Sehubungan itu, beliau berkata, PHB mendesak Menteri Wilayah Persekutuan untuk tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung lima perkara utama, bermula dengan pendedahan minit kelulusan. 

Kerajaan diminta menjelaskan asas penilaian profesional yang membolehkan diskaun ke atas premium jutaan ringgit kepada angka RM1,000, semata-mata atas pertukaran kategori tanah komersial kepada institusi. 

Selain itu, Arifuddin menuntut kerajaan memberi jaminan bahawa wujud sekatan undang-undang agar KLSCAH tidak menyalah guna kemudahan pengurangan premium tersebut untuk menyewakan premis dan mengutip sewa komersial daripada pihak ketiga. 

Beliau juga menggesa kementerian memperincikan prinsip kesamarataan, iaitu sama ada semua badan kebajikan, institusi warisan, serta rumah ibadat kaum dan agama lain di ibu negara turut berpeluang menikmati penilaian dan pajakan 99 tahun yang serupa, tanpa sebarang bentuk diskriminasi. 

Pada masa sama, PHB meminta penjelasan mengenai asas undang-undang berhubung kelulusan pajakan untuk tempoh maksimum 99 tahun itu, walhal pajakan sedia ada dilapor masih berbaki kira-kira lapan tahun. 

Beliau turut menggesa kerajaan mewajarkan penilaian RM1,000 tersebut dan mengesahkan sama ada status 'institusi' secara automatik telah menghilangkan nilai komersial, lokasi strategik, serta potensi ekonomi hartanah yang terletak di tengah ibu kota itu.

"Jika RM4.67 juta boleh dipertimbangkan menjadi RM1,000 untuk sebuah institusi, apakah pula pertimbangan kerajaan terhadap rakyat biasa yang hanya meminta peluang untuk terus memiliki tempat berteduh?" soalnya lagi. 

PHB turut menggesa kerajaan agar mempamerkan keprihatinan yang sama dengan menawarkan penyelesaian seperti penstrukturan tunggakan, pelan pembayaran berperingkat, atau pengecualian sewa sementara buat penghuni PPR yang benar-benar terhimpit secara kewangan.

Penjelasan Hannah Yeoh

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh tampil mempertahankan kelulusan premium RM1,000 tersebut yang disifatkannya sejajar dengan pertukaran status tanah KLSCAH daripada komersial kepada tanah institusi.

Menurut penjelasan beliau baru-baru ini, penukaran status itu bermakna KLSCAH secara rela melepaskan potensi pulangan ekonomi yang lumayan sekiranya tapak bernilai strategik itu dibangunkan sebagai kondominium mewah atau pusat beli-belah.

Beliau turut menyelar tindakan segelintir pihak yang cuba menunggang isu kaum dan agama berhubung kelulusan itu, serta menyifatkan taktik menyamakan pengecualian premium bangunan warisan sejarah negara dengan isu tunggakan sewa PPR sebagai satu naratif yang sengaja mengelirukan rakyat.

Hannah menegaskan, kelulusan tersebut dimuktamadkan selepas Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan bersetuju dengan penyerahan dan pemberian milik semula tanah untuk kegunaan institusi bagi memelihara statusnya sebagai bangunan warisan.

Ia selaras dengan komitmen dan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat dewan tersebut pada awal tahun ini. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement