ALOR SETAR:Dua buah telefon pintar milik seorang ibu tunggal dan arwah suaminya menjadi 'penyelamat' serta 'talian hayat' kepada sembilan anak mereka yang kebanyakannya masih bersekolah dan perlu mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Menurut Saaidah Puteh, 40, tujuh daripada sembilan anaknya masih bersekolah dan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan, dia terpaksa mengatur giliran untuk anak-anaknya bagi menggunakan telefon pintar untuk melibatkan diri dalam kelas secara maya serta menyiapkan tugasan yang diberikan guru masing-masing.

Dia yang juga seorang suri rumah tidak mampu untuk membeli peranti baharu dan hanya bergantung kepada faedah pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) arwah suaminya, Zainol Abidin Ibrahim, 47, yang meninggal dunia akibat kencing manis, Oktober lalu.

Lalu, apa yang mampu dilakukan Saaidah ialah mengatur masa selain membimbing anak-anaknya ketika mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Cabarannya ialah bagaimana nak mengelola keadaan kerana dalam satu masa ada dua tiga tugasan anak-anak perlu buat, dalam masa sama cikgu akan bagi tugasan lain, telefon pula ada dua saja," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Dewan Alor Malai, di sini.

Dalam pada itu, Saaidah menjelaskan, keputusan kerajaan untuk melaksanakan kelas secara fizikal bagi pelajar SPM, STPM dan STAM sekurang-kurangnya telah mengurangkan "kesesakan" penggunaan telefon pintar dalam kalangan keluarganya.

Ini kerana,  anak keduanya, Nurul Aliah Athirah Zainol Abidin, 18, akan ke sekolah setiap hari bagi menjalani sesi persekolahan seperti biasa

Tambahnya, inisiatif yang diambil pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dalam memperkenalkan modul latihan khas kepada kumpulan pelajar terutama bagi pelajar Tahun 6 dilihat sebagai satu perkara yang sangat tepat tatkala dia terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran ketika ini.

Sementara itu, bagi Nurul Aliah yang bakal menghadapi peperiksaan SPM berkata, sebelum ini dia terpaksa mengalah kepada adik-adik setiap kali sesi PdPR terutama ketika pada waktu puncak iaitu sekitar pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Pembukaan semula sesi persekolahan, kata Nurul Aliah, amat melegakannya kerana masa untuk adik-adiknya menggunakan telefon pintar menjadi lebih banyak dan kelas secara fizikal disifatkan lebih berkesan berbanding secara dalam talian.

"Rasa lega sikit sebab boleh belajar, boleh ke sekolah, adik-adik juga boleh fokus buat kerja sekolah, tidak lagi bergaduh sebab terpaksa kongsi (telefon), (sebelum ini) kena tunggu dulu (giliran)," katanya.

Nurul Aliah Athirah Zainol Abidin (kiri) dan ibunya, Saaidah Puteh.

Kesemua sembilan orang anak Saaidah adalah Muhammad Zuffar Aliff, 20, yang kini telah berkerja, diikuti Nurul Aliah, Muhammad Zuffar Azriel (16), Muhammad Zuffar Aidil (15) yang juga orang kelainan upaya (OKU), Nurul Alia Alesya (12) dan Nurul Aliah Aqilla (9).

Saaidah juga mempunyai pasangan anak kembar berusia 6 tahun iaitu Nurul Alia Aneesa dan Nurul Alia Areesa selain bayi berusia dua bulan, Nurul Alia Afiyya.

Sementara itu, kesulitan yang dihadapi keluarga Saaidah mendapat perhatian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah.

Pertubuhan itu menyampaikan sumbangan sebuah telefon bimbit dan barangan keperluan harian kepada keluarga berkenaan.