Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan dirombak susulan penahanan enam belas pegawai kanan dan anggota jabatan itu yang dipercayai melindungi sindiket dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya turut melancarkan operasi mengesan pegawai dan anggota lain yang turut terbabit melindungi sindiket berkenaan.

Setakat ini semua enam belas pegawai kanan dan anggota jabatan itu ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kita telah menahan beberapa orang pegawai kanan dan juga anggota kerana penglibatan mereka dalam membocorkan maklumat ataupun operasi dan sebagainya dan kita rasakan kita tidak boleh membiarkan keadaan itu berlarutan.

"Setakat ini kita tahan di bawah SOSMA dan kita akan tahan selama 28 hari. Tak salah, saya dan kita akan kemukakan laporan siasatan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2017 di Kem Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta pada Isnin.

Katanya pegawai dan anggota yang ditahan dipercayai ada hubungan dengan pengedar dadah serta membocorkan maklumat dan operasi polis.

Media sebelum ini melaporkan kebanyakan suspek, termasuk pegawai berpangkat deputi superintendan dan inspektor, bertugas di JSJN.