Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan seramai 7,000 pegawai dan anggotanya bagi kawalan keselamatan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak pada April depan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Fuad Abdul Zarim berkata pihaknya memerlukan lebih banyak anggota berikutan keadaan negeri Sarawak yang agar besar dan luas.

Justeru, menurut beliau kawalan keselamatan adalah amat penting.

Jelasnya, pihak PDRM telah melakukan perbincangan kawalan tugas bersama pihak polis di Sarawak untuk menentukan pembahagian anggota di sekitar pusat pengundian di negeri itu.

Muhammad Fuad berkata pihaknya akan menilai samada mereka perlu membawa bantuan anggota dari Semenanjung atau terus dari Sabah bagi membantu kawalan keselamatan pada April depan untuk menguruskan penjimatan ekonomi.

“Bagaimanapun, kita akan membawa seramai 400 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk membantu dari segi perhubungan dan komunikasi kerana kita mengetahui Sarawak mempunyai kawasan pendalaman.

“Perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dijalankan dan mereka memerlukan kelengkapan komunikasi yang ada pada PGA untuk mengemaskini setiap keputusan undian selang setiap jam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Lawatan Kerja Pengarah Jabatan KDNKA ke Briged Utara PGA, Ulu Kinta pada pagi Jumaat.

Kata Muhammad Fuad, pihaknya akan bekerjasama dengan SPR bagi urusan melicinkan pentadbiran sepanjang pilihan raya negeri tersebut berlangsung.

Tambahnya, pihak SPR juga akan menggunakan sebanyak 20 buah helikopter sepanjang pilihan raya itu bagi memastikan setiap pendaftar berpeluang membuang undi masing-masing.

“Pihak kami juga telah melaksanakan pelbagai jenis eksesais dan persiapan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) untuk mempersiapkan setiap anggota kita bagi PRN Sarawak kali ini,” tambahnya.