KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan satu perbincangan khusus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mewujudkan laluan keselamatan sempadan baharu di Sarawak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata ia merangkumi laluan sepanjang 100 kilometer (km) dari Telok Melano sehingga ke kawasan perkampungan Biawak di Lundu.

Malah, katanya kawalan keselamatan di sempadan Sabah dan Sarawak akan terus diperkasa dan diperkukuhkan susulan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

“Minggu depan kita (PDRM) adakan perbincangan perincian di Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara juga memberi persetujuan laluan-laluan keselamatan yang kita akan bina nanti kira-kira 100 kilometer laluan berbukit.

“Laluan ini kita sambung sehingga ke sebelah timur di peringkat awal dari Telok Melano sehingga melangkui kawasan Biawak, tetapi kawasan yang berbukit kita akan hentikan sementara untuk kita laksanakan kajian lebih terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis simbolik penyerahan Sumbangan Logistik Kerajaan Sarawak di Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA Batu Kawah pada Isnin.

Selain itu, Hazani memberitahu, satu Batalion PGA akan ditambah di Sri Aman dalam usaha memantapkan pemantauan dan penugasan di sempadan negeri itu seiring dengan penambahan dua Batalion PGA di Sabah.

“Kita akan wujudkan satu Batalion PGA di Sri Aman khusus untuk kawasan sempadan darat bersama Batalion 10 di Sibu, maka kita akan ada empat Batalion PGA secara keseluruhannya, insha Allah hasrat ini akan kita capai pada bulan Jun nanti.

“Ini adalah langkah yang kita lakukan susulan pemindahan Ibu Negara Indonesia ke Kalimantan yang secara tidak langsung kita akan menerima tempias sosial ekonominya, dan kerana inilah kita akan utamakan jenayah rentas sempadan khasnya melibatkan penyeludupan manusia,” katanya lanjut.

Pada tahun 2021 lalu, kerajaan negeri telah menyumbang hampir lebih RM1 juta kepada Briged Sarawak PGA di bawah peruntukan Jawatankuasa Kawalan Sekuriti Negeri Sarawak bagi beberapa aset bantuan logistik.

Antaranya pembelian dua buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Isuzu D-Max.

Dalam pada itu Hazani berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam beberapa perkara antaranya berhubung permohonan kebenaran tanah dan lokaliti.

Tambah beliau, pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri untuk membina sebuah pos sempadan yang lengkap di Mongkos, Serian.