SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mempertimbangkan penyediaan kuota khas kemasukan pegawai lepasan Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS) ke dalam pasukan keselamatan berkenaan.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata cadangan berkenaan dan pemberian nilai merit itu wajar dipertimbangkan, mengambil kira sambutan menggalakkan dan jumlah permohonan yang tinggi daripada orang awam untuk menyertai pasukan berkenaan ketika ini.
"PDRM mungkin boleh memberi sedikit kuota untuk pegawai-pegawai yang telah ditauliahkan sebagai SUKSIS ini kerana mereka boleh dikatakan sudah mempunyai asas sebagai pegawai polis seperti berkawad, memahami budaya polis dan telah diajar asas undang-undang.
"Mengenai peratusan kuota kemasukan, saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Jabatan Pengurusan PDRM, namun sekiranya kita (PDRM) beri merit peluang itu amat cerah buat mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kali Ke-10 Tahun 2026 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, Komandan Kor SUKSIS UiTM Prof Dr Mohd Sazli Sahibi dan Timbalan Komandan Kor SUKSIS UiTM SUPT KS Prof Muhammad Nur Jalil.
Selain cadangan kuota, Noor Hisam berkata tempoh latihan bagi penugasan Kadet Inspektor di pusat latihan polis (PULAPOL) juga berpotensi dipendekkan berbanding tempoh asal selama sembilan bulan kepada enam bulan untuk lepasan Kor SUKSIS berdasarkan sejarah pengambilan terdahulu.
"Biasanya, untuk belajar asas sahaja memerlukan masa dua hingga tiga bulan, namun pegawai SUKSIS ini sudah ada asas dari sudut kawad dan undang-undang. Perkara ini akan diperincikan bersama Jabatan Pengurusan dari segi silibus latihan kelak," katanya.
Noor Hisam berkata penglibatan mahasiswa dalam Kor SUKSIS disifatkan sebagai pelaburan strategik modal insan dalam melahirkan generasi muda berdisiplin tinggi serta berpengetahuan luas dalam selok-belok undang-undang negara.
Beliau berkata peningkatan syarat kemasukan pegawai kadet PDRM yang kini memerlukan kelayakan minimum Ijazah Sarjana Muda turut memberi kelebihan penuh kepada semua graduan Kor SUKSIS yang ditauliahkan.
Terdahulu, sebanyak 549 pegawai kadet dari 12 kampus UiTM di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah ditauliahkan sebagai Inspektor Kor SUKSIS selepas menyempurnakan latihan intensif selama tiga tahun bersamaan dengan enam semester sepanjang pengajian mereka di universiti.
Sejak program berkenaan diperkenalkan pada 2003, UiTM telah melahirkan 3,865 Inspektor Kor SUKSIS di seluruh negara.
-- BERNAMA