Pasukan siasatan khas atau 'task-force' yang ditubuhkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat kes-kes jenayah tembak kebelakangan ini telah menampakkan kesan positif dalam setiap kes tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berpuas hati dengan pencapaian penyiasatan oleh pasukan khas ini apabila kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi boleh dianggap sebagai sudah selesai.

"Kita sudah kenal pasti suspek-suspek yang terlibat dan kita akan mengesan dan menangkap mereka yang terlibat ini dalam sikit masa lagi dan ini juga termasuk kes-kes tembak yang lain," kata Khalid ketika sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Negeri di Bukit Aman tadi.
Menurut beliau, setiap kes tembakan mempunyai cerita dan fakta tersendiri.

"Kita bukanlah berdepan dengan seorang gila yang bersenjata yang akan melakukan tembakan rambang menembak orang ramai tetapi setiap kes tembakan yang terjadi itu mempunyai ceritanya tersendiri dan kita akan menyiasat dengan mendalam setiap kes ini," katanya lagi.

Beliau turut menenangkan masyarakat yang bimbang dengan beberapa kejadian tembak-menembak kebelakangan ini.

"Kita faham dengan kerisauan masyarakat yang seolah-olah mendapati pemerolehan senjata api kini begitu senang didapati dan kita bekerja keras dalam mengesan penjenayah-penjenayah ini," katanya lagi.

Beliau berharap masyarakat yakin dan dapat memberi kerjasama kepada polis dalam menyelesaikan kes-kes jenayah terbabit.

"Saya yakin kita akan dapat menyelesaikan kes ini satu persatu dan orang ramai digesa untuk menyalurkan maklumat kepada polis mengenai kes tersebut dan kerahsiaan maklumat akan dijamin," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata reman suspek pemandu teksi yang dipercayai membawa suspek utama dalam kes tembak Hussein Ahmad Najadi pada 29 Julai lalu akan dilanjutkan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Reman suspek pemandu teksi yang berumur 44 tahun itu akan tamat esok.