MALIM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka  dalam suasana norma baharu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua anggota akan digerakkan sejurus pengumuman rasmi dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Polis sememangnya bersiap siaga dalam hal ini yang mana sekiranya SPR umumkan untuk adakan PRN, PDRM akan membantu sepenuhnya dengan SOP yang telah ditetapkan.

“Kalau Majlis Keselamatan Negara (MKN) kata  da SOP tertentu, kita sedia laksanakannya dan buat masa ini pasukan pematuhan di Melaka juga ada sebabyak 280 pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Balai Polis Malim, di sini pada Isnin.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 20 pesara polis yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pihaknya juga sedang mengkaji keperluan untuk mendapatkan bantuan pegawai dan anggota dari negeri lain bagi membantu kontinjen Melaka menghadi PRN.

“Kita akan tengok pada keadaan dan jika diperlukan tambah (anggota), tidak ada masalahnya jika keadaan memerlukan.

“Pasukan pemantauan juga begitu, hika perlu ditambah mengikut situasi PRN, ianya akan ditambah memandangkan pasukan polis sentiasa bersiap siaga” ujarnya.

Terdahulu, SPR telah mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan PRN Melaka di sebuah hotel di banda hilir harini.

Mesyuarat khas tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh, yang membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Melaka seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Sebelum ini, dewan undangan negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.