Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertekad untuk memburu mana-mana individu serta memerangi kumpulan militan seperti IS habis-habisan, terutama bagi membetulkan idealisme yang 'menghalalkan' tindakan
membunuh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata isu ini merupakan satu daripada cabaran kepada PDRM untuk terus memantau dan membanteras militan IS daripada terus mempengaruhi masyarakat tempatan.

Bagi mengekang aktiviti berkenaan, PDRM melaksanakan beberapa langkah untuk menanganinya termasuk menyenarai dan mengenal pasti individu yang cuba merekrut rakyat Malaysia yang dipengaruhi IS.

"PDRM juga melancarkan operasi tangkapan untuk mengganggu mereka dan kumpulan yang dikenal pasti, dengan kerjasama agensi perisikan asing dalam perkongsian risikan untuk mengesan jaringan mereka.

"Selain itu, kita akan tangkap dan dakwa suspek guna SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, Akta Imigresen dan Akta Pasport bagi warga asing.

"Semua ini kita perlukan satu akta yang baharu sedang kita cadangkan sekarang ini. Saya percaya ia dapat dibentang dalam sesi parlimen kali ini," katanya dalam Wawancara Khas Ketua Polis Negara Sempena Peringatan Hari Polis yang ke-208.

Dalam menangani perkara itu, pihaknya telah mengambil beberapa langkah untuk masyarakat bagi mengelakkan mereka dipengaruhi IS, termasuk memberi penerangan kepada masyarakat berkenaan IS, bekerjasama dengan media massa serta menyebarkan maklumat terkini tentang kumpulan militan dan bekerjasama dengan masyarakat untuk mendapatkan maklumat, kata Khalid.

Selain menahan suspek militan, PDRM akan cuba memulihkan mereka dengan peruntukan yang ada.

"PDRM telah buat satu program pemulihan IS untuk kita pulihkan tahanan-tahanan ini supaya mereka faham apa itu IS agar apabila dibebaskan nanti mereka tidak lagi menjadi ancaman kepada negara kita.

"Program itu telah kita jalankan sejak mereka mula ditahan dan sekarang ini terdapat kira-kira 70 tahanan IS tetapi ia akan lebih sistematik selepas dua undang-undang Anti-Keganasan diluluskan," katanya.

Beliau berkata pihaknya mempunyai pengalaman menahan anggota komunis, di mana mereka dulu bukan sahaja ditahan malah PDRM memulihkan ideologi mereka.

"Jadi pendekatan yang sama kita gunakan terhadap tahanan-tahanan IS ini, di mana mereka ini dipulihkan kembali khususnya yang telah pergi ke Syria sana... rakyat Malaysia yang bersama-sama menyembelih orang, jadi mereka semua perlu dipulihkan kembali pemikiran mereka," katanya.

Khalid menegaskan tahanan-tahanan IS telah diberi pendedahan yang teruk berkenaan dengan semua perkara berkaitan Islam yang tidak betul.

Sementara itu, ditanya berhubung cadangan mewujudkan semula Jabatan Pasukan Petugas Khas Keganasan Bukit Aman yang dibubarkan tahun lepas, beliau menyatakan pihaknya tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

"Kita tidak berhasrat untuk mewujudkan semula satu jabatan terrorism, jabatan ataupun unit terrorism ini kerana ia lebih efektif ditempatkan di bawah Jabatan Cawangan Khas PDRM.

"Saya berpendapat ia merupakan satu keputusan tepat telah kita buat kerana Cawangan Khas ini sendiri telah mempunyai rangkaian tersendiri dalam menangani masalah militan IS," katanya.

Khalid berkata Cawangan Khas ini telah menjalankan kerja dengan baik jadi tiada sebab untuk mewujudkan semula Jabatan Terrorism.