KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam dengan rampasan bernilai lebih RM98 juta menerusi tiga serbuan di Kuching, Sarawak, Selasa lepas. 

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata serbuan itu adalah hasil risikan bersama antara Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak dan Polis Kontinjen Sarawak.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis menahan lapan lelaki terdiri daripada tujuh rakyat tempatan dan seorang warga asing, selain merampas 40,469,600 batang rokok pelbagai jenis dan 44,716 kotak minuman keras tidak bercukai kastam.

“Turut dirampas dua jenis kenderaan dan lima unit telefon bimbit. Kesemua rampasan bernilai RM98,793,958.51.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata bagi tempoh 1 hingga 7 Jan lepas, PDRM menahan 91 individu serta merampas pelbagai barangan tidak berkastam, diesel bersubsidi serta haiwan dan hidupan liar bernilai lebih RM181 juta.

Hazani berkata kejayaan itu diraih PDRM menerusi tiga operasi iaitu Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1 dan Op Bersepadu Khazanah.

"PDRM sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak berkastam, penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar tidak berlakunya ketirisan hasil negara.

Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

-- BERNAMA