PDRM tumpaskan ribuan akaun keldai, tahan lebih 2,000 individu

Rusdi berkata Operasi Mule NSRC yang dijalankan dari 22 hingga 28 September lepas berjaya menahan 1,303 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan akaun keldai, membabitkan 778 kertas siasatan.
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya menumpaskan ribuan akaun keldai yang disalah guna bagi kegiatan penipuan dalam talian menerusi dua operasi besar-besaran di seluruh negara yang membawa kepada lebih 2,000 tangkapan.
Ringkasan AI
- Dua operasi besar oleh JSJK Bukit Aman 'Operasi Mule NSRC dan Operasi Merpati' berjaya menumpaskan ribuan akaun keldai dan pusat panggilan penipuan, dengan lebih 2,000 individu ditahan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan jenayah komersial.
- Operasi Mule NSRC mencatat 1,303 tangkapan melibatkan 778 kertas siasatan, manakala Operasi Merpati menyaksikan 790 tangkapan berkaitan penipuan e-dagang dan 30 lagi kerana mengendalikan pusat panggilan, dengan kerugian keseluruhan melebihi RM65 juta.
- JSJK menegaskan komitmen berterusan membanteras sindiket penipuan rentas sempadan dan mengingatkan orang ramai agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank serta kad ATM kerana ia boleh disalah guna untuk aktiviti jenayah dan penggubahan wang haram.
Beliau berkata operasi berkenaan, yang dilaksanakan bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), bertujuan membanteras jenayah komersial yang menggunakan akaun keldai untuk menerima wang hasil penipuan dalam talian. Tangkapan tertinggi direkodkan di Sarawak iaitu 272 orang, diikuti Sabah (200), Kuala Lumpur (137) dan Selangor (115).
Sementara itu, Operasi Merpati yang dijalankan dari 2 hingga 12 Sept turut mencatat kejayaan besar apabila 790 individu ditahan kerana memiliki akaun bank yang digunakan untuk penipuan e-dagang, manakala 30 lagi diberkas kerana mengendalikan pusat panggilan aktiviti penipuan di seluruh negara.
"Jumlah tangkapan itu terdiri daripada 475 lelaki, dan 315 wanita serta empat warga asing melibatkan warga Indonesia dan Bangladesh," katanya sambil menambah penipuan e-dagang bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini menyebabkan kerugian lebih RM54 juta.
Bagi Operasi Merpati, Rusdi berkata sebanyak 660 kertas siasatan dibuka di seluruh negara melibatkan kerugian lebih RM11 juta dengan 41.7 peratus daripadanya telah dituduh di mahkamah dan selebihnya masih dalam siasatan.
"Kedua-dua operasi itu menunjukkan komitmen berterusan JSJK dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian yang semakin licik dan merentas sempadan negeri," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank dan kad ATM kepada pihak lain kerana perbuatan itu adalah kesalahan yang boleh disalah guna untuk aktiviti jenayah dan penggubahan wang haram.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


