KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tuduhan pecah amanah wang AS$12.1 juta (RM50.4 juta) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan perkara itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap wanita berkenaan.

Ahmad Shahrir dimaklumkan, ia berikutan wujud penemuan baharu berkaitan kes tersebut dan menyatakan bahawa tertuduh akan dihadapkan semula dengan pertuduhan pada masa akan datang.

Ketika membaca keputusan ringkas, Hakim berkata, jika pihak pendakwaan menarik balik tuduhan yang dikemukakan, mahkamah tidak boleh menggesa pendakwa raya untuk meneruskan kes berkenaan.

Katanya, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah mengemukakan alasan yang wajar dalam melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Hasanah.

"Juga dinyatakan, ini merupakan kekangan sementara kerana pihak pendakwaan mengesahkan bahawa tertuduh akan dihadapkan semula dengan pertuduhan di masa akan datang.

"Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah melaksanakan kuasa budi bicaranya ketika tidak meneruskan pertuduhan terhadap Hasanah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Mahkamah dijadualkan mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan yang dijalankan secara tertutup atau dalam kamera (in-camera) melibatkan saksi terlindung.

Setakat ini, 10 saksi hadir memberi keterangan bermula 6 Oktober 2020

Bagaimanapun permohonan untuk menarik balik kes ini dibuat sebelum saksi-saksi terlindung memberi keterangan.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.


* Artikel asal di Sinar Harian