Padah pecah masuk bangunan sarang burung layang-layang, dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman 15 dan 20 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh, Mohamad Idham Hafiz Aziz, dan Ahmad Faiz Marzuri yang masing-masing berusia 28 tahun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Noor Mazrinie Mahmood.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba memecah masuk bangunan yang dijadikan sarang burung layang-layang milik Mohd Sarif Husain, di Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 6 petang pada 14 Disember lalu.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.