PUTRAJAYA: Pusat Ekonomi Digital (PEDi), yang dahulunya menawarkan akses Internet secara kolektif di luar bandar untuk golongan kurang berkemampuan, kini berfungsi sebagai pemangkin ekonomi digital bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti tempatan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Berucap pada Persidangan PEDi MADANI 2023 di sini hari ini, beliau berkata setiap PEDi dilengkapi dengan capaian Internet selain menawarkan latihan ICT, keusahawanan digital dan e-pembelajaran bagi manfaat komuniti setempat khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), golongan belia serta pelajar.

Fahmi berkata PEDi turut menawarkan perkhidmatan nilai tambah merangkumi perkhidmatan kesihatan digital, transaksi tanpa tunai dan perkhidmatan sehenti seperti pembayaran bil dalam talian.

Bagi menilai keberkesanan PEDi sebagai pusat sehenti yang memacu sosioekonomi komuniti setempat dan memantapkan pembangunan modal insan, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, telah menjalankan kajian impak PEDi.

"Antara dapatan yang diperoleh ialah kadar penggunaan aktif sebanyak 94 peratus. Ini menunjukkan kesetiaan pengguna terhadap PEDi," katanya.

Fahmi berkata MCMC bersama rakan strategik, kolaborator digital, organisasi swasta dan badan bukan kerajaan telah bekerjasama merancang serta melaksanakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk memperkasa masyarakat di peringkat akar umbi antaranya Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK).

Menerusi PUPUK, katanya program latihan dilaksana bagi mendorong penglibatan komuniti setempat dalam ekonomi digital.

Beliau berkata MCMC, Shopee dan kakitangan PEDi juga telah berjaya mencapai sasaran bagi tahun ini untuk mendigitalisasikan 7,000 usahawan menerusi platform e-dagang Shopee dengan nilai jualan sebanyak RM15.7 juta.

Sehingga kini, Fahmi berkata sejumlah RM55.4 juta nilai jualan telah dicapai melalui inisiatif digitalisasi usahawan sejak 2021.

Beliau berkata PEDi mendapat sokongan daripada penyedia perkhidmatan seperti Telekom Malaysia, CelcomDigi, Maxis dan Redtone melalui penyediaan program e-pembelajaran untuk pelajar yang kurang berkemampuan.

-- BERNAMA