MALAYSIA
Pegawai Imigresen Johor didakwa terlibat pengubahan wang haram lebih RM700,000

Nas Suffian Nasrun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM718,710 antara 2022 hingga 2023.
Ringkasan AI
- Pegawai kanan Imigresen Johor, Nas Suffian Nasrun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM718,710 melalui 64 transaksi antara Julai 2022 hingga Jun 2023, didakwa di bawah Akta 613.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti penyerahan pasport dan laporan bulanan di balai polis, selain membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama lima pertuduhan lain.
- Peguam tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan rekod kerja baik, tanggungan keluarga dan risiko tindakan tatatertib, manakala pendakwaan menekankan keseriusan kes dan syarat tambahan yang telah dikenakan sebelum ini.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa ia dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aznika Mohd Anas menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.
"Tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mahkamah terbabit telah mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran. Oleh itu, saya mohon mahkamah ini mengguna pakai syarat tambahan tersebut," katanya.
Selain itu, Aznika turut memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama lima pertuduhan lain.
Bagaimanapun peguam Muhammad Zaim Rosli yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya yang berkhidmat sebagai penjawat awam selama 19 tahun mempunyai rekod kerja yang baik, tidak mempunyai masalah disiplin dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib.
"Tertuduh mempunyai potensi untuk dikenakan tindakan tahan kerja susulan pendakwaan terhadapnya. Selain itu, tertuduh yang berpendapatan RM5,000 sebulan perlu menanggung isteri serta lima anak berumur tujuh hingga 15 tahun," kata peguam itu.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan mengguna pakai syarat tambahan yang dikenakan Mahkamah Sesyen Shah Alam selain membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah terbabit.
Pada 22 Julai lepas, Nas Suffian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM933,295 antara 2022 hingga 2024.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami