Seorang Pembantu Pegawai Kastam Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,100 di antara Oktober 2013 hingga Ogos 2014 lalu.

Tertuduh, Mohd Zulkifli Dollah, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Mohd Zulkifli dituduh menerima rasuah RM500 setiap kali pada Oktober dan Disember tahun lepas serta Februari dan April tahun ini daripada seorang warganegara Malaysia di dalam sebuah kereta sebagai dorongan untuk tidak menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis arak di Taman Harmoni Indah, Seri Kembangan.

Mohd Zulkifli turut dituduh menerima suapan RM2,700 setiap kali pada Jun, Julai dan Ogos tahun ini, melalui wakil seorang warganegara Malaysia, di dalam sebuah kereta sebagai dorongan untuk tidak menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis arak yang sama.

Mohd Zulkifli dituduh di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan jika disabitkan boleh dipenjara 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan.

Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Saifuddin Hashim Musaimi meminta tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 30 Oktober depan di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam.

Tertuduh diwakili oleh peguam Feizal Mustafa.

Sementara itu, di sebuah mahkamah sesyen berasingan, seorang lagi Pembantu Pegawai Kastam Kanan Selangor, mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000 antara September 2013 hingga Ogos 2014 lalu.

Hakim Allaudeen Ismail menetapkan sebutan kes Mohd Nor Sukri Mohd Mokhtar, 36, pada 30 Oktober depan di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam.