KUANTAN: Seorang pegawai kerajaan kerugian RM370,000 setelah diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 33 tahun mendakwa dihubungi oleh seorang suspek lelaki pada 17 Jun lepas, memaklumkan syarikat miliknya tidak membayar cukai untuk tempoh yang lama.

Mangsa yang menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan syarikat itu mendakwa diminta berurusan dengan seorang polis berpangkat Inspektor kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang kerana syarikat itu juga terlibat dalam siasatan jenayah penggubahan wang haram.

"Inspektor itu dikatakan meminta bayaran RM120,000 sebelum 21 Jun bagi menyelesaikan siasatan tanpa tangkapan dan mangsa yang bimbang dengan ugutan itu, mendakwa telah membuat beberapa transaksi pemindahan dalam talian semua wang simpanannya kepada suspek.

"Bagaimanapun, suspek didakwa terus menekan mangsa untuk membuat pelbagai lagi bayaran sehingga mangsa akhirnya membuat pinjaman peribadi di dua buah bank bagi tujuan itu," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa turut diarahkan untuk memuat turun aplikasi kononnya daripada Bank Negara Malaysia di telefon bimbit, selain perlu mengisi butiran peribadinya di aplikasi itu.

Mangsa mendakwa hanya menyedari ditipu apabila dihubungi kakitangan bank simpanannya semalam, yang ingin membuat semakan kerana terdapat banyak transaksi dalam talian mencurigakan pada akaun mangsa.

"Mangsa mendakwa semakan mendapati wang pinjaman berjumlah RM250,000 telah dipindahkan ke beberapa akaun bank tidak diketahuinya menyebabkan kakitangan bank itu menasihatkannya untuk membuat laporan polis," katanya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Beserah di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA