KUALA LUMPUR: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi sama, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China, hampir RM1 juta di sebuah residensi mewah dua tahun lalu.

Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 33, Mohd Fahmee Mohamad Nor, 41, dan Azwan Asli, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi dan Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta Kun Gao iaitu wang tunai RM952,690, Yuan 1,225, satu bagasi warna perak dan satu beg jenama Louis Vuitton (LV) warna hitam, di sebuah residensi di Jalan Ampang, di sini, pada jam 12 tengah hari, 10 Disember 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding di hadapan Izralizam, Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, mencadangkan Muhamad Haffiz dan Mohd Fahmee diberi ikat jamin masing-masing RM30,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Ravichandaran Selliah bagi pihak Muhamad Haffiz merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana perlu menyara keluarga termasuk dua anaknya berusia lima dan dua tahun.

“Jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan mencecah 10 kali ganda daripada gaji bulanan anak guam sedangkan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, peguam, R Vikraman berkata, Mohd Fahmee merupakan bapa tunggal, perlu membayar nafkah kepada bekas isteri dan menanggung seorang anak.

Selepas mendengar hujahan itu, Izralizam membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta dua syarat lagi dicadangkan pendakwaan, selain menetapkan 5 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di hadapan Aminah, Vikraman yang turut mewakili Azwan, memohon ikat jamin ditetapkan pada kadar rendah.

Hakim membenarkan bekas pegawai SPRM itu diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh sama.

Pada 13 Disember 2021 Sinar Harian melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai SPRM yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes rompakan berkumpulan membabitkan kerugian RM700,000.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan media, mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah.

Suruhanjaya itu memberi kerjasama penuh untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada polis.

Pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah. - Sinar Harian