MALAYSIA
Peguam ADALAH telah berhubung dengan aktivis GSF, rundingan fasa kedua terganggu - Menteri Luar

Mohamad mendengar taklimat mengenai misi membawa pulang sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Sepang, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
SEPANG: Pasukan peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) dilaporkan telah berhubung dengan 20 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua sukarelawan terbabit telah dibicarakan oleh rejim Israel dan kerajaan kini berharap proses deportasi dapat disegerakan.
“Namun, pasukan peguam yang menjadi penasihat undang-undang kepada misi ini masih belum dapat berjumpa dengan mereka.
“Mereka telah dibicarakan dan setiap peserta GSF dari Malaysia telah diberikan prosedur operasi standard (SOP) apa perlu dibuat jika ditahan, termasuk menandatangani surat deportasi bagi memudahkan mereka dihantar keluar daripada Israel,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), di sini, hari ini.Menurut Mohamad lagi, garis panduan itu penting untuk mempercepatkan urusan pembebasan, walaupun proses rundingan berdepan dengan kekangan dari pihak Israel akibat perayaan Yom Kippur pada 1 dan 2 Oktober lalu menyebabkan pejabat pentadbiran Israel tutup buat sementara waktu.
Pada sidang media sama, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Al-Kahery menjelaskan, proses konsultasi guaman terganggu pada fasa kedua rundingan.
“Keseluruhan delegasi GSF telah dihalang untuk diberikan hak konsultasi dengan wakil ADALAH. Walaupun mereka telah bertemu dengan 20 orang, namun proses fasa kedua tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Dalam masa sama, Sani Araby menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar terus memberi sokongan doa dan solidariti, sambil menegaskan usaha kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wisma Putra sedang digerakkan secara maksimal untuk membebaskan sukarelawan GSF.
“Justru, kita mengharapkan seluruh rakyat Malaysia teruskan momentum sokongan ini, teruskan solat hajat, doa untuk Nazilah. Kerana inilah titik susah senang Malaysia untuk kita sama-sama berperanan, membebaskan delegasi kita,” katanya.
Sebelum ini menurut penganjur GSF, sebanyak 42 konvoi flotila telah dipintas oleh pasukan bersenjata Israel pada Khamis lalu.
Ekoran itu, 201 aktivis kemanusiaan dari 36 buah negara yang menyertai misi bantuan kemanusiaan GS telah ditahan oleh rejim Zionis.
Antara yang ditahan termasuk 23 sukarelawan dari Malaysia yang turut serta dengan misi GSF.
Aktivis Malaysia yang ditahan ialah Musa Nuwayri, Sul Adil, Taufiq Mohd Razif, Haikal Luqman, Hariz Adzrami, Danish Nazram, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak, Mohd Asmawi, Rusydi Ramli, Iylia Balqis dan Zulfadhli Khairudin.
Tidak ketinggalan pengamal media, pendakwah bebas dan selebriti turut bersama dalam misi, antaranya Zainal Rashid Ahmad, Razali Awang, Muhammad Abdullah, Rahmat Ikhsan, Farah Lee, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami