PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu tiada dakwaan bahawa permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan sebelum ini oleh bekas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Hisyam Teh Pok Teik adalah taktik untuk melengah-lengahkan prosiding kes itu.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Hisyam telah memohon agar diberikan masa tiga hingga empat bulan untuk membuat persiapan sebaik mungkin bagi mengemukakan hujah dalam rayuan utama di Mahkamah Persekutuan memandangkan beliau belum bersedia ketika itu kerana baru sahaja mengambil alih kes tersebut.

"Adalah penting untuk diambil maklum bahawa Hisyam telah memaklumkan mahkamah itu adalah kesilapan beliau dan bukan kesilapan pemohon (Najib) kerana lewat menerima ringkasan mengenai kes tersebut.

"Berdasarkan pengalaman selama empat setengah dekad sebagai peguam, beliau menganggap permohonan untuk menangguhkan kes itu adalah sesuatu yang munasabah kerana belum sampai setahun ia diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Muhammad Shafee berkata demikian pada prosiding pendengaran permohonan Najib untuk menyemak perintah terdahulu Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd funds.

Beliau berkata dalam keseluruhan konteks ini, seseorang itu gagal memahami sebab Mahkamah Persekutuan menggunakan kaedah yang pantas untuk menyelesaikan rayuan kes tersebut dan membuat keputusan.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata panel hakim Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan untuk penangguhan dan memerintahkan supaya rayuan utama kes tersebut didengar bermula dari 18 Ogos 2022 meskipun menyedari adalah mustahil bagi Hisyam untuk tampil bersedia ketika itu.

"Alasan bertulis berhubung penolakan penangguhan pendengaran rayuan kes itu adalah antara keputusan yang ingin disemak oleh pemohon," katanya.

Beliau berkata pada tarikh sama (18 Ogos), Hisyam sekali lagi memohon penangguhan atas alasan beliau memerlukan masa secukupnya untuk menyediakan hujahan penuh bagi rayuan utama.

"Bagaimanapun, panel hakim Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan itu yang menyebabkan Hisyam tiada pilihan selain menarik diri daripada mewakili pemohon," katanya.

Menyifatkan hubungan beliau dengan ZIST sebagai pesaing sengit, Muhammad Shafee berkata firma guaman itu gagal memaklumkan perkara sebenar kepada Najib kerana begitu yakin bahawa mahkamah akan membenarkan pendengaran rayuan kes itu ditangguhkan.

"ZIST tidak pernah mengendalikan kes jenayah dan rakan kongsinya iaitu peguam Niru Pillai dari Singapura bakal berdepan tindakan disiplin oleh Badan Peguam di republik kerana berkhidmat tanpa lesen. Pada 25 Julai tahun lepas, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dan Niru menasihati Najib agar menggantikan keseluruhan pasukan pembelaannya dengan ZIST. Najib turut melantik Hisyam sebagai peguam utama baharu seperti yang disyorkan oleh ZIST," katanya.

Pendengaran rayuan itu di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang bersidang bersama tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan dan seorang Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, bersambung 20 Feb ini.

Najib memohon semakan untuk membatalkan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan serta hukuman terhadapnya dalam kes membabitkan SRC International.

Pada sidang akhbar selepas itu, Muhammad Shafee berkata beliau diminta untuk kembali mewakili pemohon selepas Najib menyedari beliau telah melakukan kesilapan kerana mempercayai individu tertentu.

"Najib sememangnya menyedari perkara itu namun anda pasti tahu bahawa jika seseorang itu berada dalam keadaan terdesak, beliau lebih sensitif kepada semua idea dan akan mencuba segalanya untuk melihat apa yang terbaik untuk beliau," katanya.

-- BERNAMA