PUTRAJAYA: Peguam Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan beliau daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), September lalu.

Sumber, ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan bahawa representasi itu berkemungkinan untuk pertimbangan AGC untuk tidak meneruskan rayuan pendakwaan.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 26 Sept lalu di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri.

Pada 23 Sept 2022, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, 69, yang juga Presiden UMNO, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Pengurusan kes rayuan itu diadakan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron, yang kemudiannya menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 31 Mac ini sementara menunggu representasi itu dipertimbangkan.

Dalam penghakiman, Hakim Mohd Yazid, berkata mahkamah mendapati notasi 'Z" dan 'ZH' yang tertera dalam lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) tidak mencukupi untuk membuktikan Ahmad Zahid menerima wang atau suapan itu.

Beliau juga berkata tiga saksi utama pendakwaan iaitu bekas Pengarah (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti.

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan terbabit di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Dalam petisyen rayuan difailkan 29 Dis lalu, pendakwa raya selaku perayu mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim Mohd Yazid terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes itu.

-- BERNAMA