Pejabat Peguam Negara telah memulangkan semula kertas siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Tan Sri Mohd Apandi Ali berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah diarahkan agar kertas-kertas siasatan tersebut dikembalikan semula secepat mungkin.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas-kertas siasatan tersebut, Jabatan ini telah pada hari ini mengembalikan kertas-kertas siasatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh pihak SPRM," katanya dalam kenyataan.

SPRM pada 31 Disember lalu telah menyerahkan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International dan satu kertas siasatan berkaitan kes yang dikatakan melibatkan dana RM2.6 bilion.