Masalah alam sekitar khususnya penggondolan bukit di Pulau Pinang, kini disifatkan sebagai kritikal dan perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dalam tinjauannya di kawasan-kawasan bukit di negeri ini, mendapati kebanyakan kawasan tanah tinggi di lima daerah di Pulau Pinang mempunyai kesan kemusnahan akibat ditarah.

Presiden PEKA Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata Pulau Pinang sebagai tapak warisan bukan sahaja perlu memulihara bangunan-bangunan warisan, sebaliknya perlu menjaga dan memberi perhatian terhadap pemuliharaan hutan dan mengekalkan kehijauan alam sekitarnya.

"Kami sangat sensitif dengan apa yang berlaku sekarang...banyak kawasan bukit digondol untuk memberi laluan kepada pembangunan. Tinjauan kami mendapati kemusnahan cerun-cerun bukit seperti di kawasan Teluk Bahang dan Batu Kawan.

"Apakah kita memerlukan semua pembangunan ini? Saya percaya rakyat Pulau Pinang sendiri mempunyai pandangan dan pendekatan mahu mengekalkan khazanah alam milik negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menerapkan kesedaran betapa pentingnya kawasan bukit sebagai pasak bumi dan perlu keluar daripada menumpukan pembangunan di bahagian pulau.

"Apa (pembangunan) yang ada di bahagian pulau sudah lebih daripada cukup...pembangunan sepatutnya ditumpukan pula di bahagian seberang," katanya.

Shariffa Sabrina berkata pihaknya bukan menentang pembangunan tetapi hanya mahu agar kehijauan dan khazanah alam dijaga sebaiknya demi kepentingan generasi akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata PEKA akan mengatur pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi membincangkan isu pembangunan di kawasan bukit di negeri ini dan mengemukakan memorandum bagi memastikan kawasan hijau di negeri ini dipulihara.

"PEKA mahu tindakan lebih proaktif daripada agensi kerajaan negeri seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Perhutanan untuk melihat pencerobohan ini secara serius sebelum lebih luas lagi tanah bukit digondolkan di seluruh Pulau Pinang," katanya.