JOHOR BAHRU: Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menetak abang kandung sehingga parah menggunakan parang panjang di Kayu Ara Pasong, Pontian pada minggu lalu.

Tertuduh, Azmi M Taib, 53, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap abang kandungnya, Sazali M Taib, 55, dengan sebilah parang panjang yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan di depan rumah abangnya di Kayu Ara Pasong, Pontian pada jam 4 petang, 29 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama mengikut Seksyen 326 (A) KK.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 326 KK, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara Seksyen 326 (A) KK pula boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda dari tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut mencadangkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik, Mohd Hakim Mohd Don dan Danial Firdaus Derin bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan diikat jamin dengan jumlah yang mampu memandangkan dia hanya bekerja kebun dengan pendapatan RM2,000 dan perlu menanggung isteri dan empat anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi kesalahan tersebut berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 6 November depan.

Difahamkan, dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kedua belah tangan dan kepala akibat ditetak adiknya.

Tangan kiri mangsa terpaksa dipotong di paras bawah siku setelah mengalami kecederaan serius dan banyak urat tangan yang terputus. - Sinar Harian