Seorang pekebun terkejut apabila menemui seekor buaya sepanjang tiga meter di dalam lopak air di sebuah kebun sawit di Kampung Linau Kecil, Batu Pahat pada Isnin.

Dalam kejadian jam 3.21 petang itu, lelaki terbabit yang sebelum itu membersihkan kawasan berkenaan segera menghubungi bomba bagi meminta bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saifulle Idris, berkata sepasukan anggota segera dihantar ke lokasi kejadian.

"Operasi menangkap reptilia seberat 150 kilogram itu mengambil masa 30 minit disebabkan ia agak agresif.

"Kita percaya buaya berkenaan sebelum ini tersesat masuk ke anak Sungai Linau berhampiran kebun sawit itu," katanya di sini, pada Isnin.

Katanya, buaya berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.