Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan pekeliling mengenai pengharaman vape kepada pihak sekolah dan institusi pendidikan dalam masa terdekat, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pekeliling tersebut yang mengandungi peraturan, larangan dan tindakan mengenai vape sedang di peringkat akhir penyediaan sebelum diedarkan.

"Pekeliling ini bukan sahaja untuk pelajar malah guru. Saya sudah telitif draf pertama manakala draf terakhir kini berada pada penasihat undang-undang. Bila semua pihak setuju, kita akan edarkan," katanya di sini pada Khamis.

Mahdzir berkata penguatkuasaan larangan merokok dalam kawasan sekolah sudah dikuatkuasakan sejak 10 tahun lalu dan penggunaan vape pun perlu diharamkan dalam kawasan persekitaran sekolah.

"Tapi sekiranya ia dilakukan di luar sekolah, itu bukan autoriti kita. Yang itu kita minta kerajaan negeri yang uruskan," katanya.