Skip to main content

Malaysia

PEKEMA President's Cup 2026 perkasa CSR, salur RM30,000 kepada bekas atlet

12th Edition PEKEMA Golf President's Cup 2026 /
Seramai 10 bekas atlet negara menerima sumbangan RM30,000 daripada PEKEMA menerusi kerjasama dengan YAKEB sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR sempena 12th Edition PEKEMA Golf President's Cup 2026. - Gambar PEKEMA
Advertisement

PURAJAYA: Penganjuran 12th Edition PEKEMA Golf President's Cup 2026 bukan sekadar mencatat rekod penyertaan tertinggi sepanjang sejarah kejohanan, malah memperkukuh agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada 10 bekas atlet negara menerusi kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dalam menghargai jasa bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara, selain menjadikan platform sukan sebagai medium menyumbang semula kepada masyarakat.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata kejohanan edisi ke-12 itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila menghimpunkan hampir 500 peserta, meningkat daripada kira-kira 400 lebih peserta pada tahun lalu.

"Tahun ini merupakan penganjuran yang amat membanggakan apabila hampir 500 peserta mengambil bahagian berbanding sekitar 400 peserta tahun lalu.

"Pada masa sama, kami juga bekerjasama dengan YAKEB untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada 10 bekas atlet negara sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejohanan itu membuktikan bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui pencapaian perniagaan, sebaliknya turut dinilai menerusi impak positif yang dapat diberikan kepada masyarakat.

Edisi kali ini menghimpunkan ahli PEKEMA, rakan strategik, penaja korporat, wakil agensi kerajaan serta peserta dari United Kingdom, Jepun, Brunei dan Singapura, sekali gus mengangkat reputasi kejohanan itu ke peringkat antarabangsa.

Dalam saingan President's Cup Champion, Hairi Abd Aziz muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 41 mata Stableford. Pemain berhandikap 1 itu menampilkan aksi cemerlang dengan mencatat 22 mata stableford pada sembilan lubang pertama sebelum menambah 19 mata stableford pada sembilan lubang terakhir.

Mohd Ismal Azzam turut mengumpul 41 mata stableford untuk menduduki tempat kedua berdasarkan kiraan countback, manakala Abdullah Dania melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan 40 mata stableford.

Memasuki edisi ke-12, PEKEMA Golf President's Cup terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara kejohanan golf korporat paling berprestij di Malaysia yang menggabungkan elemen sukan, jaringan perniagaan dan tanggungjawab sosial dalam satu platform.

Must Watch Video

Advertisement