GERIK: Seorang pekerja projek pembinaan jambatan yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Perak dekat Kampung Sawa di sini, pada Sabtu ditemukan lemas hari ini.

Mayat Nabil Haikal Nazarrudin, 21, ditemukan orang awam pada pukul 8.41 pagi, sekitar tiga kilometer dari lokasi mangsa mandi bersama rakannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Farizul Anuar Razali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan setelah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.44 petang, Sabtu lalu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat rakan mangsa, lelaki yang bekerja membina jambatan di lokasi tersebut mandi di sungai itu bersama rakan lain sebelum didapati hilang.

"Operasi mencari mangsa segera dijalankan sebelum mayatnya dijumpai pada pukul 8.41 pagi.

"Anggota bomba membawa mayat mangsa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi SAR mangsa disertai 16 pegawai dan anggota BBP Gerik dan Lenggong, dibantu enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar.

Operasi yang turut dibantu pihak polis, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu tamat pada pukul 10 pagi.