GUA MUSANG: Seorang pekerja kedai makan berusia 22 tahun maut dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Bandar Baru Gua Musang berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang malam tadi.

Mangsa yang juga penunggang motosikal dikenali sebagai Mohamad Aizad Ahmad, berasal dari Rantau Panjang, Pasir Mas.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kemalangan dipercayai berlaku sekitar pukul 10.15 malam tadi.

Kata beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh pemuda berusia 21 tahun merempuh sebuah motosikal yang perlahan di garisan tengah jalan untuk membelok ke kanan.

"Pada masa sama, terdapat dua buah kenderaan pacuan empat roda lain yang berada di kanan jalan di haluan sama.

"Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu pemuda berkenaan yang berada di bahagian depan secara tiba-tiba mengubah haluan ke kiri manakala kenderaan pacuan empat roda yang berada di belakangnya itu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang motsikal mangsa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini

Menurut Choon Foo lagi, penunggang motosikal berkenaan maut serta-merta di tempat kejadian.

Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang memandu laju mengekori rapat pacuan empat roda lain di hadapannya sehingga berlaku kemalangan maut berkenaan.

Choon Foo turut memaklumkan, pemandu pacuan empat roda itu ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.