Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memohon agar perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbang melanjutkan cuti peristiwa 8 Julai 2016 kepada semua pekerja sektor swasta.

Setiausaha Agungnya, N. Gopal Kishnam berkata lanjutan cuti itu penting agar semua pekerja dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga mereka di kampung.

“MTUC mohon jasa baik perdana menteri sekiranya melanjutkan cuti khas ini dan dapat diberikan juga kepada semua pekerja sektor swasta.

“Pengumuman ini penting untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pekerja-pekerja sektor awam dan sektor swasta. Pengumuman ini dapat memenuhi aspirasi dan Gagasan 1Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Semalam, Kerajaan bersetuju memberikan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai ini kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 6 Julai.

Bagaimanapun, katanya pelepasan khas daripada bertugas itu tidak terpakai sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytihar pada 5 Julai.