Pelabur asing mengurangkan dedahan terhadap saham-saham yang tersenarai di Bursa Malaysia bagi minggu ke-17 berturut-turut apabila bertindak menjual ekuiti tempatan bernilai RM539.2 juta pada minggu lepas.

Bagaimanapun, MIDF menerusi laporan aliran dananya hari ini berkata, berbanding enam pasaran lain di Asia, Malaysia sebaliknya mencatatkan aliran keluar keempat terendah bagi tahun ke tahun sebanyak RM15.0 bilion.

Saham-saham yang menyaksikan aliran keluar tertinggi adalah Top Glove, TIME dotcom dan AMMB manakala saham berkaitan kewangan muncul paling banyak merekodkan aliran masuk bagi minggu tersebut.

"Ketika pasaran dibuka semula selepas hujung minggu yang panjang, pelabur antarabangsa bertindak menjual saham tempatan berjumlah RM250.6 juta.

"Namun, aliran dana asing yang masuk ke pasaran tempatan berjumlah RM1.4 juta pada Rabu, sekali gus menamatkan aktiviti jualan selama 11 hari di Bursa Malaysia.

"Aliran masuk dana asing ke Malaysia yang sederhana itu juga menyaksikan bursa tempatan ditutup pada paras 1,575.3 - paras penutupan tertinggi sejak Januari 2020," katanya.

Sentimen terhadap risiko itu dipacu oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadual berakhir pada 31 Ogos ini.

Bagaimanapun, aktiviti belian asing bersih dalam pasaran tempatan tidak bertahan lama apabila pihak dana asing bertindak melakukan jualan bersih sebanyak RM274.6 juta pada Khamis.

Ini berikutan minat pelabur terbabit dijejaskan oleh unjuran Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenai prospek ekonomi negara itu yang lebih suram.

Pada asas mingguan, FBM KLCI merosot sebanyak 0.7 peratus selepas mencatat 1,546.0 mata manakala ringgit susut sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar AS pada paras 4.2635. - BERNAMA