IPOH:Dua peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga tuduhan menipu tiga wanita berhubung pelaburan jenis Bitcoin Actionnode berjumlah RM150,500, tahun lalu.

Tertuduh, Reduan Ismail, 38 tahun, dan Adan Ibrahim, 33 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa menipu seorang wanita sebanyak RM26,000 dengan menjanjikan pulangan 20 peratus selama tujuh bulan berturut turut.

Mereka dituduh melakukan kesalahan berkaitan mata wang digital atau kripto itu di Hotel Casuarina di sini pada jam 12 tengah hari, 26 Julai tahun lalu.

Mereka turut dituduh menipu seorang wanita lain sebanyak RM120,000 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, kedua-dua tertuduh didakwa menipu seorang lagi wanita sebanyak RM4,500, pada jam 10 pagi, 8 Mei lalu, di tempat yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,500 bersama seorang penjamin untuk setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee manakala tertuduh diwakili peguam Aizul Rohan Anuar, Hazwa Mahira Azman dan Nurradiah Zaini.