KPDN siasat dakwaan kenderaan asing isi RON95 di Changlun

Hasil pemeriksaan rakaman CCTV stesen minyak terbabit mendapati kenderaan itu tidak membuat pengisian minyak petrol RON95. - Gambar fail
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah telah menjalankan siasatan terhadap sebuah stesen minyak di Changlun, dekat sini susulan penularan video menerusi media sosial berkaitan dakwaan pengisian minyak RON95 oleh kenderaan asing di stesen minyak berkenaan.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak terbabit mendapati kenderaan itu tidak membuat pengisian minyak petrol RON95.
Beliau berkata sebaliknya kenderaan itu telah mengisi minyak petrol RON97 sebanyak 25.02 liter bersamaan RM79.06 serta membuat pembayaran dengan menggunakan kad visa.
"KPDN telah mengeluarkan arahan larangan dan kawalan penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan asing pada 29 April 2025 kepada pengusaha stesen minyak seluruh Kedah.
"Pengusaha stesen minyak boleh didenda jika sabit kesalahan pelanggaran Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Sebelum ini, tular beberapa gambar dan video menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta yang didakwa menukar nombor pendaftaran menyerupai nombor pendaftaran kenderaan Malaysia bagi mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Changlun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


