Thailand catat lebih 32 juta pelancong asing pada 2025, rakyat Malaysia kumpulan terbesar

Pelancong mengambil gambar ais krim khas sewaktu mengunjungi Wat Arun, Bangkok. - Gambar hiasan/Reuters
BANGKOK: Thailand merekodkan ketibaan lebih 32 juta pelawat asing sepanjang 2025, dengan Malaysia mendahului senarai ketibaan pelancong apabila lebih 4.5 juta rakyatnya melawat negara itu.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Natthriya Taweewong berkata jumlah keseluruhan pelancong asing yang berkunjung ke Thailand antara 1 Jan hingga 31 Dis 2025 adalah seramai 32,974,321 orang, sekali gus menjana pendapatan sebanyak 1.53 trilion Baht.
Beliau berkata lima pasaran sumber utama ialah Malaysia dengan 4.52 juta pelawat, diikuti China (4.47 juta), India (2.49 juta), Rusia (1.9 juta) dan Korea Selatan (1.55 juta).
"Secara keseluruhan, ketibaan pelancong asing tahun lepas menjana kira-kira 1.53 trilion Baht dalam pendapatan pelancongan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. (100 Baht = RM12.99)
Bagaimanapun, Natthriya menarik perhatian bahawa ketibaan pelancong asing menunjukkan penurunan dalam semua segmen pasaran pada minggu pertama 2026, trend yang disifatkan sebagai normal selepas berakhirnya cuti Tahun Baharu.
Beliau berkata jumlah ketibaan merosot 16.55 peratus berbanding minggu sebelumnya kepada 724,971 pelancong, iaitu pengurangan sebanyak 143,823 pengunjung.
"Setakat 5 Jan 2026, Thailand merekodkan jumlah kumulatif 376,391 pelancong asing bagi tempoh 1 hingga 4 Jan, yang menjana pendapatan kira-kira 18.16 bilion Baht," katanya.
Mengulas mengenai prospek masa hadapan, Natthriya menjangkakan ketibaan pelancong asing akan terus berkurangan pada minggu akan datang.
Namun, beliau menyatakan terdapat faktor sokongan yang kekal membantu, termasuk musim kemuncak pelancongan di Eropah dan Amerika, serta langkah-langkah untuk menggalakkan syarikat penerbangan meningkatkan kekerapan penerbangan.
Thailand menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 38 juta pelancong antarabangsa pada 2025, namun kejadian banjir besar yang melanda wilayah utara, timur laut dan selatan pada November tahun lepas telah menjejaskan sektor pelancongan serta memberi impak kepada ketibaan pelancong.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


