KUALA LUMPUR: Keputusan Amazon Web Service (AWS) membuat pelaburan sebanyak RM25.5 bilion di Malaysia adalah kerana syarikat gergasi teknologi itu percaya kepada pentadbiran politik yang stabil dan dasar yang jelas oleh Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini, pelaburan itu juga memberi impak tinggi kerana menambah keyakinan untuk kemasukan pelabur-pelabur asing baharu dari barat dan timur, ke dalam negara.

"Tetapi, khusus dalam konteks perundingan ini, sejak Disember 2019 dan diteruskan, AWS menunggu sehingga mereka percaya kepada satu pentadbiran politik yang stabil, dasar dan arahan yang jelas.

"Ini yang akhirnya menyebabkan mereka menghubungi kami (Kerajaan Perpaduan) dan menyatakan, kerana politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas, menyebabkan AWS memilih Malaysia sebagai pangkalan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang bertanya apakah implikasi kepada ekonomi negara dengan komitmen pelaburan oleh AWS yang bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037 itu.

Pada masa sama, Sim mahukan penjelasan berhubung Tesla yang telah menyatakan komitmen pelaburan ke Malaysia dan bagaimana perancangan selanjutnya oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan infrastruktur oleh AWS dijangka mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi dalam negara.

Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pelaburan tersebut akan membawa akses kepada infrastruktur AWS bertaraf dunia dan program kemahiran digital ke Malaysia, yang membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk berinovasi.

Amazon menangguhkan keputusannya sehingga penubuhan Kerajaan Perpaduan

Menjawab soalan tambahan bagaimana perbezaan pendekatan Kerajaan Perpaduan pula, Anwar berkata, pendirian kerajaan kekal untuk memastikan ketelusan dalam rundingan melibatkan syarikat tempatan yang dipilih kelak.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memastikan pengaliran masuk pelaburan asing berkualiti tinggi ke dalam negara dengan menambah baik dasar-dasar semasa yang mesra perniagaan serta memudah cara kemasukan serta pelaksanaan projek-projek pelaburan.

Ujar beliau lagi, kerajaan akan turut melaksanakan pendekatan berfokus dan memberdayakan ekosistem dalam usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk menambah nilai dan mencipta nilai.

BACA: Pelaburan Tesla, AWS dijangka bawa limpahan ekonomi, wujudkan pekerjaan berkualiti tinggi 

BACA: Pelaburan RM25.5 bilion, sahkan Malaysia sebagai hab digital pilihan - Fahmi

Sebelum ini, Tesla dilaporkan akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di negara ini.

Sementara AWS pula, pelaburannya dijangka meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi serta membantu inovasi perusahaan kecil dan sederhana, seiring dengan aspirasi digital negara. 

Kestabilan politik, dasar jelas faktor Amazon labur di Malaysia