JOHOR BAHRU: Pelaburan dua syarikat utama, Tesla dan Amazon Web Services (AWS) dijangka membawa limpahan ekonomi kepada negara sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelaburan positif seperti Tesla itu didorong faktor Malaysia yang mempunyai ekosistem kukuh dalam menyokong pembuatan kenderaan elektrik (EV).

"Contohnya Tesla mengatakan bahawa sebahagian yang agak besar daripada rantaian bekalan mereka adalah dari Malaysia, jadi mengapa tidak mereka berpindah ke sini," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Johor Port Bhd, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaburan baharu daripada Tesla dan AWS itu.

Sebelum ini Tengku Zafrul dilaporkan berkata MITI telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.

Dalam merealisasikan objektif itu, Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Tengku Zafrul berkata pelaburan terkini AWS pula dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM25.5 bilion untuk tempoh melebihi 15 tahun, akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi serta membantu inovasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seiring dengan aspirasi digital negara.

-- BERNAMA