Petronas telah melancarkan program Pelaburan Sosial Korporatnya di Sabah dengan matlamat membantu meningkatkan taraf hidup di kalangan masyarakat di beberapa kawasan luar bandar serta menyokong pembangunan belia Sabah melalui sukan pada 9 Februari 2017.

Program ini meliputi tiga inisiatif baru iaitu Planting Tomorrow, Food Basket, dan Pembangunan Belia yang akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa organisasi.

"Pelancaran program-program ini pada ketika industri minyak dan gas berhadapan dengan cabaran, menggambarkan komitmen tinggi Petronas dalam melaksanakan program tanggungjawab sosialnya untuk rakyat Sabah," kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Sesungguhnya, saya dan seluruh rakyat negeri Sabah mengalu-alukan inisiatif Petronas ini yang saya percaya akan membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup di kalangan masyarakat," katanya dalam ucapan ketika melancarkan program itu di sini.

Petronas akan melabur sebanyak RM18 juta dalam tempoh empat tahun akan datang untuk melaksanakan ketiga-tiga inisiatif itu. Beberapa lagi inisiatif sedang dirancang termasuk pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains MARA di Ranau dan dua buah asrama harian di sekolah-sekolah terpilih yang akan dilancarkan pada tahun ini.

Petronas telah melabur sejumlah RM184.8 juta antara tahun 2011 dan 2016 untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk RM83 juta untuk memulihara Kanyon Imbak dengan kerjasama Yayasan Sabah.

Program-program lain termasuklah Program Tajaan Pendidikan Petronas, Sekolah Amanah, Program Sentuhan Ilmu Petronas, Program Sentuhan Kasih, serta Bantuan Latihan dan Tajaan Institusi Vokasional.

Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan berkata: "Setiap program ini mempunyai misi-misi yang tersendiri. Namun ia dicetuskan oleh satu inspirasi yang sama - yakni, setiap insan, tanpa mengira usia dan latar belakang, mempunyai impian dan juga potensi; meskipun kadang kala ia seolah-olah tidak tergapai dek tangan, tidak terjangkau dek fikiran."

"Berbekalkan inspirasi ini, Petronas berusaha untuk memperkasakan pelbagai lapisan masyarakat menerusi program-program bantuan yang diolah khusus untuk keperluan mereka," katanya.

Beliau juga berkata majlis perlancaran hari ini, terutama sekali Planting Tomorrow dan Food Basket, melambangkan kolaberasi erat antara Petronas, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Pusat, yang kesemuanya akan mendorong kepada kejayaan agenda Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Planting Tomorrow merupakan program kesejahteraan yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Sejahtera, sebuah yayasan yang ditubuhkan untuk menangani kemiskinan tegar sejajar dengan matlamat dua daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara iaitu meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, dan memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman.

Program itu meliputi penyediaan bekalan air alternatif, serta latihan pertanian kepada 160 isi rumah di tujuh buah kampung di Mukim Dandun, Pitas iaitu Dowokon, Bambangan Ulu, Maliau Layung, Maliau Pusat, Perupok, Pinapak dan Nunguh; dan tiga di Mukim Simpangan di Kota Marudu iaitu Patiu, Katud, dan Pulutan.

Kampung Patiu adalah kampung pertama yang menikmati bekalan air bersih di bawah program ini melalui pemasangan sistem bekalan air graviti bulan lepas. Kerja-kerja pemasangan sistem yang sama sedang giat dijalankan di Kampung Katud dan Kampung Pulutan, dan juga di Mukim Dandun, Pitas, yang akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk.

"Sebelum ini kami terpaksa berjalan kaki selama lebih satu jam untuk mengambil air dari sungai. Dengan adanya kemudahan ini, air bersih kini dapat diperolehi beberapa langkah sahaja dari rumah kami," kata Hamzah Haruna, 35, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Patiu.

Petronas turut melaksanakan program Planting Tomorrow di Kampung Imbak di Tongod dengan kerjasama Yayasan Sabah. Ini termasuklah program inap desa di Kampung Imbak yang terletak di laluan ke Kawasan Konservasi Kanyon Imbak.

Melalui program Food Basket pula yang akan dijalankan di Lahad Datu, Tuaran, Beaufort, Kudat dan Kinabatangan, Petronas akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk membekalkan makanan bernutrisi tinggi bagi menangani masalah kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah bagi membantu mereka melalui proses tumbesaran yang sihat.

Sementara itu, program Pembangunan Belia pula dirangka untuk memupuk gaya hidup sihat dan holistik di kalangan belia Sabah berumur antara 13 dan 17 tahun.

Antara yang akan dilaksanakan dalam program ini, yang akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah, termasuklah pembinaan sebuah padang bolasepak di Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu. Dikeluarkan oleh Perhubungan Media Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas.


--BERNAMA