Skip to main content

Malaysia

Pelajar dan bapa dipukul dalam pergaduhan di depan sekolah

CP Muhamad Farid bin Ahmad, Ketua Polis Daerah Serdang -- FB Polis Daerah Serdang
ACP Muhamad Farid berkata, beberapa individu sudah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman. - Gambar fail/Foto Polis Daerah Serdang
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan bapanya cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Seri Kembangan, 3 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Muhamad Farid Ahmad, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika mangsa, pelajar di sekolah tersebut, sedang menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah.

"Mangsa telah dipanggil beberapa pelajar lelaki dari sekolah sama sebelum dikepung dan dipukul.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian bibir dan lutut selain rasa sakit serta lebam di seluruh badan.

"Bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul sehingga terjatuh di jalan raya dan mengalami kecederaan pada tangan dan kaki serta rasa sakit di seluruh badan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa individu sudah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kejadian itu ditangani secara profesional serta mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Susulan laporan polis yang diterima, satu kertas siasatan telah dibuka. 

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, dan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata Muhamad Farid.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

Must Watch Video

Advertisement